Monday, 12 September 2016
Saturday, 30 April 2016
PERMINTAAN TINGGI TERHADAP KEMAHIRAN TEKNIKAL, VOKASIONAL PADA MASA DEPAN
Bernama, 1 March 2016
KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Kini telah tiba masanya rakyat Malaysia mengikis persepsi bahawa Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional (TVET) hanya layak untuk golongan yang tidak cemerlang akademik. Jika tidak berbuat demikian, Malaysia mungkin perlu mendapatkan sumber pekerja berkelayakan dari negara-negara lain untuk mengisi beribu-ribu jawatan kosong yang bakal wujud dalam tempoh lima tahun akan datang ketika negara ini menuju ke arah mencapai status negara maju, kata penganalisis. Kira-kira 1.3 juta pekerjaan teknikal dan vokasional dijangka diwujudkan menjelang 2020, namun penganalisis menyatakan keraguan bahawa Malaysia mempunyai jumlah rakyat berkelayakan yang cukup bagi mengisi jawatan-jawatan tersebut jika masih di tahap pemikiran masa kini.
Pengarah Urusan German-Malaysia Institute (GMI) Yusoff Md Sahir berkata sudah tiba masanya untuk rakyat menyedari akan potensi TVET, memandangkan skop pekerjaan dalam bidang teknikal dan vokasional adalah sangat luas. Kebanyakan daripada pekerjaan terbabit meliputi bidang perkhidmatan, pembuatan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Malah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, pada awal bulan ini, menekankan agar lebih ramai rakyat Malaysia mengikuti kursus TVET bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor-sektor berkaitan.
"Negara kita memerlukan khidmat mereka yang mempunyai kemahiran teknikal dan vokasional ... (malangnya) ada stigma terhadap kursus-kursus teknikal, jadi pelajar kelihatan lebih cenderung untuk memilih bidang profesional," katanya. Berapa lamakah ibu bapa dan pelajar akan terus mengabaikan peluang-peluang kerjaya yang wujud dalam bidang TVET, yang sudah bertahun-tahun ditumpukan kepada golongan yang lemah pencapaian akademik di sekolah?
Memetik statistik daripada Institut Maklumat Pasaran Buruh dan Analisis (ILMIA), Yusoff berkata terdapat kira-kira 3.3 juta pekerja Malaysia yang berumur antara 15 dan 34 yang hanya memiliki kelayakan UPSR, PMR atau SPM. "Maka tidak dinafikan pendidikan dan latihan lanjutan bagi lepasan ini perlu diberi perhatian menerusi TVET mengikut keperluan pasaran kerja," katanya kepada Bernama.
Yusoff yang menegaskan bahawa program TVET perlu direka bagi memenuhi keperluan kedua-dua industri tempatan dan global serta permintaan terhadap kualiti dan tenaga kerja mahir seterusnya berkata bahawa di bawah Program Transformasi Ekonomi Negara (ETP), dianggarkan 3.3 juta pekerja baharu diperlukan menjelang tahun 2020.
Subscribe to:
Posts (Atom)